Bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMSDC untuk memperkukuh sistem pelaporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) universiti serta menyelaras proses pengumpulan data di peringkat PTj. Inisiatif ini menyokong komitmen Universiti Malaya ke arah mencapai neutral karbon menjelang 2030 dan sifar bersih (Net Zero) menjelang 2050, selaras dengan aspirasi UM Net Zero Blueprint 2030.
Sepanjang bengkel, para peserta telah diberikan pendedahan menyeluruh mengenai konsep asas pelepasan GHG, termasuk perbezaan antara Skop 1, Skop 2 dan Skop 3, serta kepentingan data yang tepat, konsisten dan boleh disahkan dalam pelaporan tahunan universiti. Peserta turut didedahkan kepada Helaian Pengumpulan Data (Data Collection Sheet) yang dibangunkan bagi menyeragamkan format pelaporan, di samping sesi demonstrasi pengisian data serta perbincangan berkaitan cabaran dan penambahbaikan mekanisme pelaporan GHG di peringkat PTj.
